Wednesday, October 24, 2007

Ulasan: Bazir RM95 Juta Untuk Angkasawan Malaysia Uji Yoyo Dan Gasing?

Ulasan: Bazir RM95 Juta Untuk Angkasawan Malaysia Uji Yoyo Dan Gasing?

ARTIKEL ASAL DARI HARAKAHDAILY

Bazir RM95 juta untuk angkasawan Malaysia uji yoyo dan gasing?

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Hrkh) - Belum pun Angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha tiba ke bumi pada 21 Oktober (esok), pelbagai kritikan dan luahan kesal sebilangan masyarakat telah didengari terhadap projek angkasalepas negara yang dianggap sebagai satu pembaziran besar yang wajar dinilai dan dikaji semula kerana melibatkan kos perbelanjaan yang begitu tinggi.

Malah ada yang menyifatkannya ianya sekadar projek 'melancong ke angkasa' yang tidak memberi sebarang impak besar terhadap teknologi angkasa lepas negara ini dan hanya mahu berbangga nama Malaysia dilakarkan di mata dunia semata-mata seorang rakyat Malaysia telah pun dihantar ke angkasa.

Lebih sinis pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dilabelkan sebagai pemimpin yang sering menunjuk-nunjuk dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia dan akan mencanangkan kepada satu negara hasil usaha yang telah dicapai dan telah dilaksanakan oleh BN selama ini sedangkan pencapaian itu terpaksa disokong dan 'dileburkan' dengan menggunakan duit rakyat jelata.

Dalam satu petikan daripada Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman yang mengkritik projek ini berpendapat bahawa rakyat Malaysia hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

"Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasalepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manafaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata 'boleh'. Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka," tulis Backman.

Angkasawan lain sudah uji yoyo

Bahkan akhbar Australia itu menyifatkan Malaysia sebagai "boleh" tetapi "bodoh" apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya di angkasa lepas.

Ada tanggapan, bahawa Malaysia semakin menunjukkan kebodohannya apabila membelanjakan wang sebanyak itu semata-mata untuk membuat ujikaji 'bodoh' di angkasa lepas yang telah pun dibuat oleh angsawan lain sebelumnnya.

Antara ujikaji yang disifatkan boleh menjadikan tawa negara luar yang dipetik daripada blog ntbn. wordpress ialah putaran gasing, putaran yoyo, catuan Strawberry, campuran minyak dan air dan kelajuan bola berbilang saiz.

"Cuba kita bayangkan. Selain ianya dilakukan sekali lagi atau menjadi bahan tawa negara maju betapa Malaysia sudah ketinggalan di dalam ilmu angkasa sehingga yoyo dan gasing pun menjadi perkara pelik untuk dibuat ujikaji," kata blog tersebut

Dilaporkan ujikaji terhadap yoyo ini telah pun dilakukan pada 12 April 1985 oleh Astronaut David Griggs manakala ujian susulannnya dilakukan oleh Astronaut Jeffery Hoffman pada 31 Julai 1992.

"Nak buat macamana, setakat kaji yoyo, mereka dah boleh digelarkan sebagai angkawasan dan saintis... tak ke kelakar namanya tu," kata blog itu lagi.

Kebanggaan Malaysia juga tidak dapat bertahan lama sebagai sebuah negara membangun yang berjaya menghantar rakyatnya ke angkasa lepas kerana akhirnya 'dibenam' oleh Afghanistan yang jauh lebih mundur daripada negara ini yang telah mencipta sejarah 19 tahun lalu dengan menghantar angkasawannya Abdul Ahad Mohmand.

Rakyat Afganistan ke angkas lepas 19 tahun lalu

Juruterbang tentera Afganistan berusia 48 tahun itu berlepas ke angkasa dengan roket Soyuz TM6 pada 29 Ogos 1988 dengan ditemani 2 angkasawan Russia, Vladimir Lyakhov dan Valery Polyakov dan tiba di bumi pada 6 September 1988, menurut tulisan ibnuzack2 yang dipetik daripada laman web Tranungkite.

"RM 100 juta bukan sedikit. Andai jumlah sebesar itu digunakan bagi membina rumah kos rendah, maka 25 000 rakyat kerdil akan dapat berteduh dari hujan dan panas.

"Tidak perlu lagi rakyat Kampung Berembang hidup di dalam khemah dan tidak perlu lagi penduduk Kampung Bujal menangis melihat tumbangnya masjid mereka. Andai wang sebanyak itu disalurkan untuk kemudahan pendidikan, maka ratusan ribu remaja Islam tidak perlu menanggung beban riba PTPTN," kata ibnuzack2.

Mengakhiri tulisannya beliau menasihati supaya projek angkasalepas ini tidak 'mengaburi' penganiayaan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat yang semakin hari makin tertindas akibat penyalahgunaan kuasa dan harta oleh para pemimpin yang rakus dan tamak haloba.

"Jangan tuan-tuan, andainya kejayaan Dr Syeikh Muszaphar ini akan melupakan kita pada Kampung Berembang, peristiwa Kampung Bujal, skandal kapal selam, skandal kehakiman, penganiayaan di Batu Burok, ISA, rampasan royalti, peminggiran dan berat sebelah terhadap rakyat dan kerajaan Kelantan serta pelbagai lagi kisah lampau yang masih berdarah lagi lukanya," katanya lagi.

Sumber asal di HarakahDaily (klik di sini)

-------------------------------

ULASAN PERIBADI 1

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Syawal kepada semua,

Terima kasih yang kepada memberi feedback kepada artikel "Bazir RM95 Juta Untuk Angkasawan Malaysia Uji Yoyo Dan Gasing?", sekurang-kurangnya ada juga yang membaca bulletin di Friendster dan mengikuti isu-isu semasa.

Saya bukannya membangkang 100 % misi tersebut, sebaliknya ada beberapa perkara yang bagi saya perlu diberikan pandangan:

- Perlukah duit sebanyak sedemikian dilaburkan untuk melakukan eksperimen-eksperimen yang telah dilakukan oleh angkawasan-angkasawan terdahulu? Eksperimen yoyo untuk menunjukkan kesan mikrograviti dilakukan pada 12 April 1985 oleh Astronaut David Griggs manakala ujian susulannya dilakukan oleh Astronaut Jeffery Hoffman pada 31 Julai 1992. Jadi apakah perlunya ujian yoyo tersebut dilakukan lagi?

- Umat Islam pertama ke angkasa lepas ialah salah seorang rakyat Afghanistan Abdul Ahad Mohmand, pada tahun 1988 (sekadar membetulkan fakta bahawa Dr Muszaphar bukannya umat Islam pertama ke angkasa lepas)

- Adakah Rusia / Amerika akan memberikan ilmu dan teknologi angkasanya yang terkini kepada negara-negara lain terutamanya kepada negara-negara Islam? Anda sudah lupa pembunuhan beramai-ramai rakyat Islam di negara Chehnya oleh kerajaan Rusia pada tahun 1994-1996?

- Andainya kerajaan Malaysia tidak membeli pesawat Sukhoi dari kerajaan Rusia, adakah kerajaan Rusia akan bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia mengikuti misi tersebut?

Bukankah lebih baik andainya Malaysia dan negara-negara Islam lain berkerjasama untuk menghantar angkasawan Islam sendiri ke angkasa lepas, bukannya mengharapkan golongan kaum kafir (Rusia / Amerika) membantu mereka? Bukankah negara-negara yang terkaya di bumi ini adalah negara-negara Islam contohnya Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Brunei yang dikurniakan nikmat iaitu petroleum yang melimpah ruah. Jadi rasanya perbelanjaan untuk menguruskan badan angkasa lepas ini tidak menjadi satu masalah.

Jadi kenapa Malaysia sebagai salah satu anggota OIC (Organization of the Islamic Conference) tidak berpakat dengan OIC untuk menubuhkan sendiri satu organisasi khas untuk membangunkan teknologi angkasa lepas untuk umat Islam sendiri? Umpamanya negara-negara di Eropah Barat menubuhkan European Space Agency (ESA) untuk membangunkan teknologi angkasa mereka, tidak bergantung kepada Amerika dan Rusia. Negara-negara lain juga seperti Jepun dan India mempunyai agensi angkasanya.

Satelit pertama Malaysia (MEASAT 1) telah dilancarkan pada tahun 1996 dan beberapa buah satelit lain juga telah menyusul. Walaupun begitu, satelit-satelit ini dihasilkan oleh negara-negara lain bukannya dibuat Malaysia. Jadi selepas 11 tahun perlancaran satelit pertama, adakah Malaysia masih tidak mampu untuk menghasilkan dan melancarkan satelitnya sendiri? Masih mengharapkan kepada negara luar?

Untuk jangka pendek, Malaysia dan negara-negara Islam lain perlu meningkatkan dan mengemaskinikan sistem pendidikan di peringkat sekolah dan universiti di negara masing-masing supaya lebih mantap dan mempunyai kemudahan yang tercanggih untuk melahirkan umat Islam yang menjadi saintis-saintis terulung. Bukankah lebih membanggakan jika ilmu dan pengetahuan baru dalam bidang sains dan teknologi ini ditemui oleh umat Islam sendiri tanpa bantuan golongan kafirun? Berapa ramaikah umat Islam yang telah berjaya menerima Hadiah Nobel dalam bidang sains?

Kenapa perlu berbangga jika kita hanya dapat menumpang kapal orang lain?

Sekadar meluahkan pendapat peribadi.

Wassalam

Khairil Mustapha
Pulau Pinang, 22 Oktober 2007

(Artikel ini telah disiarkan di buletin Friendster pada 22 Oktober 2007)

Rujukan:

http://www.yo-yos.net/Yo-yo%20history.htm

http://science.nasa.gov/headlines/y2002/18mar_playingcatch.htm

http://www.afghan-network.net/Culture/afghanastronaut.htm

http://www.esa.int/esaCP/index.html

http://www.jaxa.jp/index_e.html

http://myschoolnet.ppk.kpm.my/ingin_tahu/measat.htm

http://www.iol.ie/~afifi/Articles/chechnya.htm

-------------------

ULASAN PERIBADI 2

Assalamu'alaikum,

Salah ke kalau nak luahkan pendapat peribadi?

Saya tak condemn 100% cuma melihat pada masa depan, apakah persediaan yang telah dilakukan supaya Malaysia menjadi satu kuasa angkasa lepas? Takkan selama-lamanya kita nak menumpang milik orang.

Saya amat menyokong rakyat Malaysia ke angkasa lepas cuma bagi pendapat saya, masih terlalu awal untuk kita ke situ. Banyak lagi yang kita boleh lakukan untuk mencungkil minat para pelajar dalam bidang sains seperti:

- menaiktarafkan planetarium / pusat observatory di seluruh Malaysia

- rancangan sains yang lebih menarik di tv yang lebih sesuai untuk tahap budak-budak sekolah. Masalah dengan TV pendidikan sekarang ni ianya banyak ditayangkan pada masa sekolah jadi bila masanya pelajar-pelajar mahu menonton? Rancangan seperti Majalah 3 pula amat menarik tetapi agak tinggi tahapnya untuk mereka ini. Channel Animal Planet dan National Geographic bagus tetapi adakah semua ibu bapa mampu untuk melanggan Astro?

- mengubahsuai silibus matapelajaran Sains yang kelihatan lebih kepada teoritikal pada masa ini kepada lebih praktikal dan enjoyable

- menonjolkan tokoh-tokoh ilmuwan dengan lebih kerap di media massa bukan hanya menonjolkan artis-artis mee segera yang berpakaian tak cukup kain yang terkinja-kinja di atas pentas sebagai idola

Saya tak kata semua eksperimen tersebut perlu dimansuhkan sebab orang lain dah buat. Practise makes perfect. Adakah saya mengatakan secara literal yang misi Soyuz ini membazir?

Saya ada menyatakan tentang perlunya suatu agensi angkasa lepas ditubuhkan yang khas untuk umat Islam, tak perlu bergantung kepada golongan kafirun. Adakah itu satu bangkangan kepada teknologi angkasa lepas?

Kerajaan Malaysia perlu menyediakan satu blueprint jangka panjang untuk projek angkasa lepas Malaysia, bukannya hanya mengharapkan kepada kuasa-kuasa luar untuk membantu Malaysia. Blueprint ini perlulah diumumkan kepada rakyat supaya rakyat tahu apakah dia misi, objektif dan wawasan. Contohnya dalam masa 5 tahun, kita sudah bersedia untuk melancarkan roket/satelit kita sendiri dan dlm masa 10 tahun, menghantar 100% krew angkasawan Malaysia dalam roket buatan Malaysia dan maybe dalam masa 20 tahun, pergi ke bulan.

Pihak-pihak luar yang menghulurkan bantuan semestinya menginginkan balasan. Adakah mereka akan menolong 100% dengan ikhlas? Adakah kita inginkan seperti kes Wilayah Pembangunan Iskandar di mana Singapura akan masuk campur dalam urusan Malaysia?

Jadi blueprint ini, adakah sudah available untuk rakyat Malaysia? Atau pun masih dalam peringkat perancangan?

Kita tak mahu kerajaan yang hanya hangat-hangat tahi ayam, yang hanya berpuas hati dengan pencapaian menghantar angkasawan sahaja. Tawaran kedua untuk menghantar angkasawan Malaysia ke angkasa lepas sudah kita terima. Apakah improvement yang kita boleh lakukan? Dalam bahagian teknikal contohnya, adakah akan ada rakyat Malaysia terlibat secara langsung dalam pembinaan roket/ kapal angkasa tersebut? Takkan kita mahu jadi penumpang selama-lamanya. Perlunya ada satu perancangan yang kita boleh jadikan panduan, bukan hanya menunggu peluang tiba.

Apakah rancangan kerajaan Malaysia untuk memajukan bidang astronomi di Malaysia? Berapakah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia untuk memajukan teknologi angkasa lepas semasa pembentangan Rancangan Malaysia baru-baru ini?

Kita perlu ada check and balance dalam kerajaan. Kita sebagai rakyat berhak meluahkan pendapat masing-masing. Everybody is entitled to his/her own opinion. Adakah saya sebagai seorang rakyat Malaysia, tidak mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat? Adakah posting ini terlampau anti-kerajaan? Berbau politik? Pro-pembangkang? Adakah dengan mengkritik kerajaan dan memberikan pendapat peribadi, terus dilabelkan pro-pembangkang? Bersikap pesimis? Berfikiran negatif? Adakah dalam ulasan ini, saya ada memuji atau mengutuk mana-mana parti atau pemimpin sama ada dari pihak BN atau Barisan Alternatif?

Adakah Malaysia dengan keadaan sekarang mampu untuk menghantar angkasawan? Hasil-hasil eksperimen di angkasa lepas itu pun, kenapa perlu dianalisis di negara-negara luar? Kenapa sebelum melakukan eksperimen-eksperimen tersebut, kita tidak bersedia supaya analisis tersebut dapat dilakukan di negara kita sendiri? Kenapa hasil eksperimen di ISS itu perlu dianalisis di Rusia dan Jepun? Hanya satu eksperimen akan dianalisis di Malaysia? (Rujuk Utusan Malaysia 21 Oktober 2007)

Dalam bidang R & D di Malaysia contohnya, adakah IPTA-IPTA kita ini telah dilengkapi dengan alatan-alatan terkini dan tercanggih? Sesuai untuk bilangan nisbah alat: pelajar? Dalam penyelidikan Molecular Modelling contohnya, kemampuan untuk menganalisis sesuatu molekul organik yang kompleks bergantung kepada kemampuan komputer. Kenapa para pensyarah di IPTA kita perlu ke luar negeri untuk menjalankan kajian mereka disebabkan ketiadaan komputer yang tercanggih?

Don't get me wrong. Saya amat menyokong mana-mana program untuk mencari ilmu cuma kita perlu menyiapkan diri kita dulu. We start from bottom. Perkemaskinikan dahulu yang di bumi, barulah kita terokai yang di langit. Seumpama sebuah syarikat minyak yang menemui telaga-telaga minyak yang berpotensi di tengah lautan. Adakah syarikat tersebut akan mengorek dahulu minyak di dasar lautan sebelum membina kilang-kilang untuk penapisan dan pemprosesan petroleum ini?

Lahirkan dahulu saintis-saintis Malaysia/Islam yang boleh membangunkan industri hiliran angkasa lepas, yang dapat mencipta dan melancarkan roket sendiri dan dapat membangunkan teknologi-teknologi baru yang ditemui di angkasa lepas ini untuk manafaat manusia sejagat. Alangkah malangnya dengan kos yang amat besar, kita tak dapat mengaplikasikan ilmu-ilmu yang kita temui itu untuk faedah kita bersama. Seumpama pelajar darjah enam diberikan buku pelajaran Tingkatan Lima. Adakah kita akan memahami dan mampu mengaplikasikan ilmu tersebut jika kita tidak mempunyai asas yang kukuh? Sekiranya kita bermula dari A, kita perlu melalui huruf-huruf B, C dan seterusnya, bukannya terus ke huruf M atau Z.

Cuma pandangan peribadi, salah silap harap maafkan.

Wassalam.

Khairil Mustapha
Pulau Pinang, 23 Oktober 2007

(Artikel ini telah disiarkan di buletin Friendster pada 23 Oktober 2007)

Isu Pengajaran Ilmu Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris

NOTA:

Artikel ini sebenarnya ditulis sebagai tugasan kepada salah satu komponen kerja kursus subjek Teknik Berfikir (HTV 201) yang diajar di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada pertengahan tahun 2005. Sila abaikan penggunaan teknik-teknik dan topi berfikir yang ada di dalam artikel ini.

Tajuk Empat

Kelemahan pelajar luar bandar dalam menguasai bahasa Inggeris adalah berpunca dari pelbagai faktor. Tambahan pula dengan pengajaran ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Bincangkan kebaikan dan kelemahan dari sudut pencapaian pendidikan. Apakah anda setuju dengan langkah ini?

---------------------------------------------------------

Pembaharuan yang dijalankan oleh pihak kerajaan bermula pada tahun 2003 berkenaan proses pembelajaran bagi matapelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris telah menjadi satu tajuk perbahasan yang hangat di persidangan Kongres Pendidikan Melayu Kedua baru-baru ini. Beberapa tokoh terkenal telah menyarankan supaya pihak kerajaan mengkaji semula pembaharuan tersebut yang ditakuti akan menyebabkan lebih ramai pelajar Melayu terutamanya dari kawasan luar bandar akan tercicir dalam arus pendidikan negara disebabkan kurang berkemampuan untuk menguasai bahasa Inggeris dan seterusnya memberi kesan kepada mereka untuk berjaya dalam subjek Sains dan Matematik.

Dalam menghadapi polemik dan dilema ini, semua pihak seharusnya menjernihkan hati, berlapang dada dan membuka minda demi mencapai objektif utamanya iaitu mewujudkan masyarakat Malaysia yang fasih dalam bahasa Inggeris. Matlamat utama dalam melaksanakan perkara ini ialah untuk menambahkan daya saing rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu di peringkat antarabangsa seiring dengan era globalisasi yang sedang melanda dunia dewasa kini.

Mereka yang terlibat dalam menggubal dasar ini tentunya telah berbincang secara mendalam dan mengambilkira pelbagai kesan dan akibat sebelum melaksanakan suatu pembaharuan yang tidak popular di kalangan rakyat. Dalam hal ini, alat berfikir yang digunakan ialah PMI (Plus, Minus, Interesting) yang digunakan untuk menilai sesuatu idea dari segi kebaikannya, keburukannya dan apa yang menarik tentang idea tersebut.

Dalam sektor domestik, pihak swasta terutamanya syarikat-syarikat multinasional amat mementingkan bahasa Inggeris dalam semua urusan lalu sesiapa yang kurang berkemampuan dalam berbahasa Inggeris ketinggalan ke belakang. Salah satu sebab kenapa terdapat 80 ribu orang penganggur terhormat iaitu penganggur yang mempunyai kelayakan dari institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia ialah kelemahan mereka dalam berkomunikasi dan berurusan dalam bahasa Inggeris. Jadi, untuk mengurangkan bilangan penganggur terhormat ini, kerajaan telah mencadangkan supaya kursus Sains dan Matematik di peringkat IPT dijalankan dalam bahasa Inggeris dan tempoh pengajian sesetengah kursus selama tiga tahun dipanjangkan kepada empat tahun supaya siswazah-siswazah dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cekap. Dengan menggunakan APC (Alternatives, Possibilities, Choices), penyelesaian baru bagi mengatasi masalah siswazah mengganggur dapat difikirkan oleh pihak kerajaan.

Kenyataan yang memang tidak boleh dinafikan ialah bahasa Inggeris ialah bahasa komunikasi antarabangsa. Walaupun etnik terbesar di bumi ini ialah bangsa Cina, bahasa Inggeris adalah bahasa yang sering digunakan dalam urusan-urusan melibatkan sesebuah negara dengan negara yang lain walaupun negara-negara tersebut berjiran. Misalnya, Malaysia dan Singapura menggunakan bahasa Inggeris dalam segala urusan rasmi. Dalam contoh lain pula, Malaysia dan Indonesia merupakan dua buah negara berasal dari rumpun Melayu. Walaupun begitu, bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia ialah dua buah bahasa yang berbeza cara nahu dan diftongnya antara satu sama lain. Ketidakserasian ini meyulitkan hubungan antarabangsa yang kurang berkesan dapat dilihat dalam isu jerebu yang melanda Malaysia baru-baru ini. Sekiranya kerajaan Indonesia memahami kehendak kerajaan Malaysia, tentunya masalah ini sudah dapat diselesaikan. Bagaikan ayam bercakap dengan itik, yang terseksa adalah rakyat Malaysia jua.

Dalam menangani masalah diplomatik, perdagangan, ekonomi, alam sekitar dan sebagainya, komunikasi yang berkesan diperlukan supaya semua pihak memahami dan menyedari isu yang dibincangkan. Oleh itu, setelah menimbang semua faktor yang berkaitan, kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa tidak dapat dipersoalkan lagi.

Dunia tanpa sempadan, itulah istilah yang digembar-gemburkan dewasa ini terutama sejak perkembangan Sains dan teknologi di dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT - Information and Communication Technology). Alam siber telah menjadi salah satu sumber penting untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan sesuatu topik atau peristiwa. Dalam perkara ini, kebanyakan laman web dipamerkan dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, pengguna internet perlu menguasai bahasa Inggeris sebaik mungkin untuk memahami maklumat yang dipaparkan. Seterusnya, jika mereka ingin berkongsi maklumat dengan para pengguna lain, bahasa lain diperlukan sekiranya kedua-dua pengguna tidak memahami bahasa ibunda pengguna lain. Masalah ini dapat diatasi sekiranya mereka dapat berkomunikasi dalam bahasa yang difahami oleh kedua-dua pihak, kebiasaannya bahasa Inggeris.

Tambahan pula, kebanyakan buku-buku, majalah-majalah dan jurnal-jurnal ilmiah yang berada di sirkulasi antarabangsa ialah buku yang pengantarnya bahasa Inggeris. Walaupun terdapat buku-buku berbahasa lain, buku-buku ini kecil bilangannya dan pasarannya hanya tertumpu di sesetengah kawasan sahaja. Kebanyakan makalah-makalah yang berkualiti tinggi diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris supaya ilmu yang dikandung dapat dikongsi oleh lebih ramai orang.

Dari segi sejarah, sewaktu ketamadunan Islam dahulu, orang Eropah masih lagi berada dalam era kegelapan. Orang Eropah seterusnya mempelajari bahasa Arab disebabkan kebanyakan buku-buku pada masa tersebut ditulis dalam bahasa Arab. Setelah kejatuhan Tamadun Islam, zaman Renaissance muncul di Eropah dan masyarakat Eropah pada masa itu memperluaskan dan membangunkan idea-idea yang dikemukakan oleh orang Islam sehingga mereka mencapai kemajuan dan kemodenan dalam tamadun mereka pada hari ini.

Salah satu kelemahan umat Islam dewasa ini yang menyebabkan mereka agak ketinggalan dari segi kemodenan ialah kelemahan mereka untuk mengutarakan sesuatu isu dengan berkesan di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, konflik Palestin-Israel yang bermula sejak 1948 masih belum dapat diselesaikan walaupun telah berusia lebih setengah abad. Hal ini mungkin disebabkan tiadanya pemimpin Islam yang baik dalam menangani konflik ini dalam usaha berdiplomasi dan berkompromi dengan pihak lawan. Pemimpin Islam juga tidak mampu berucap dengan baik dalam bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa. Ini menyebabkan pihak audiens tidak mendapat mesej ataupun isu yang diperbincangkan dengan berkesan.

Dalam bidang Sains dan teknologi pula, terdapat kurang daripada lima orang yang menerima Hadiah Nobel terdiri daripada orang Islam. Dengan erti kata lain, bahasa Inggeris amat penting dalam usaha perkongsian maklumat, menangani masalah dunia yang makin mencabar ini. Oleh itu, seharusnya rakyat Malaysia bersedia untuk menghadapi arus dunia yang berubah bak kata pepatah, 'siapa cepat dia dapat, siapa lambat dia ketinggalan'.

Kerajaan juga tidak mampu untuk menyaingi kepantasan penghasilan dan penyebaran sumber-sumber ilmu yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Agensi kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mempunyai kakitangan dan kelengkapan yang mencukupi untuk menterjemahkan pelbagai sumber ilmu yang asalnya ditulis dalam berbagai-bagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris. Misalnya, dalam bidang teknologi maklumat ( IT - Information Technology), sistem operasi komputer yang digunakan secara meluas di seluruh dunia mengalami penaiktarafan (upgrade) dari masa ke semasa.

Dahulunya, sistem operasi asal yang dikeluarkan oleh syarikat Microsoft iaitu Windows 95 dinaiktarafkan kepada Windows 98, Windows Me, Windows 2000 dan akhirnya Windows XP yang telah pada tahun 2001. Terdapat cadangan supaya pihak Microsoft supaya mengeluarkan versi terbaru sistem operasinya yang dikenali dengan nama Longhorn pada akhir tahun 2005. Ini belum termasuk sistem operasi yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat lain seperti Apple Inc (Macintosh) atau sumber terbuka (open-source) seperti UNIX dan Linux. Dalam bidang ini, komputer yang merupakan satu keperluan utama pada masa kini memerlukan seseorang yang pakar mengendalikannya untuk mendapatkan hasil yang maksimum. Oleh sebab secara amnya bahasa pengaturcaraan sistem-sistem operasi komputer ditulis dalam bahasa Inggeris, penggunanya perlu menguasai bahasa Inggeris berbentuk teknikal dengan baik.

Kesukaran untuk menterjemahkan bahan-bahan ilmiah dari bahasa asing ke bahasa Melayu juga adalah salah satu faktor utama yang menyebabkan perlunya proses pembelajaran dan pengajaran ilmu Sains dan Matematik ditukar dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Jika dibandingkan buku-buku ilmiah berbahasa Melayu dan yang berbahasa Inggeris di perpustakaan USM sebagai contoh, bilangan buku yang berbahasa Inggeris didapati jauh lebih banyak. Penyelesaian jangka pendek yang boleh dilaksanakan ialah menukar bahasa pengantar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris supaya buku-buku yang berlambak ini dapat digunakan seoptima mungkin oleh para pelajar.

Tambahan pula, buku-buku teks yang digunakan oleh para pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kimia, USM pula hampir sepenuhnya ditulis dalam bahasa Inggeris. Selagi usaha untuk menterjemahkan bahan-bahan ilmiah yang ditulis dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu tidak dapat dimaksimakan dan dilakukan secepat mungkin, sebaiknya pihak pentadbir menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Salah satu masalah utama yang sering menjadi kemelut para penterjemah ialah kesukaran untuk mencari dan mendapatkan terjemahan yang tepat dan sesuai bagi sesuatu istilah saintifik di dalam bahasa Melayu. Kadang-kadang istilah yang diterjemahkan mempunyai makna yang janggal, ganjil dan berbau lucah. Contohnya alatan 'joystick' yang merupakan salah satu aksesori komputer jika diterjemahkan secara literal membawa maksud 'batang kegembiraan'. Sesetengah istilah lain pula misalnya apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, terjemahannya agak panjang berbanding istilah asal. Hal ini dapat dilihat daripada istilah 'hard disk' di mana terjemahannya ialah 'pemacu cakera liat'.

Untuk membentuk suatu sistem komunikasi yang berkesan, seharusnya maklumat yang ingin disampaikan hendaklah ringkas dan padat. Dalam contoh 'hard disk' tersebut, sudah terang lagi bersuluh bahawa istilah 'hard disk' lebih sesuai berbanding istilah 'pemacu cakera liat'. Oleh sebab itu, pihak DBP tidak mempunyai cara lain melainkan memelayukan istilah bahasa Inggeris seperti contohnya Sains (science), teknologi (technology) dan lain-lain lagi.

Berbalik kepada perbahasan di Persidangan Kongres Pendidikan Melayu Kedua, tempoh dua tahun sejak bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam subjek-subjek Sains dan Matematik bagi pelajar-pelajar darjah satu, tingkatan satu dan tingkatan enam merupakan tempoh yang singkat untuk mengukur keberkesanan pembaharuan tersebut. Menurut Tun Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, kematangan dan keberkesanan perubahan ini hanya dapat dilihat selepas 11 tahun ianya dilaksanakan seperti kata pepatah, 'Kota Rom tidak dapat dibina dalam masa sehari'.

Sekiranya saranan para pejuang bahasa pada persidangan ini dilaksanakan, nescaya yang menjadi mangsa ialah pihak yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran iaitu guru-guru dan para pelajar disebabkan sistem pendidikan yang tidak konsisten dan berubah-ubah yang tidak mengira kebajikan mereka. Jadi, golongan yang terlibat dalam penggubalan sesuatu polisi perlu mengawal arah pemikiran mereka supaya ia bertujuan, bermatlamat dan berobjektif dengan menggunakan kaedah berfikir AGO (Aims, Goals, Objectives).

Secara amnya, semua rakyat Malaysia perlu berfikir secara realistik dan mengikut keadaan semasa kerana di dalam dunia tanpa sempadan ini, negara Malaysia telah pun dikenali di pentas dunia antarabangsa. Oleh itu untuk mengelakkan masyarakat menjadi 'katak di bawah tempurung' yang tidak mengetahui perkembangan dunia luar, seharusnya penguasaan bahasa antarabangsa perlu dititikberatkan. Pengorbanan perlu dilakukan untuk mencapai sebuah masyarakat madani yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bagi golongan pelajar pula, sekiranya bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Inggeris, mereka dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada aspek pengetahuan dan kurang terganggu dengan masalah terjemahan sesuatu istilah. Contohnya, apabila seseorang pelajar merujuk kepada sesebuah buku berbahasa Inggeris untuk menyiapkan sesuatu tugasan manakala tugasan itu pula disediakan dalam bahasa Melayu, pelajar tersebut menghabiskan sedikit masa untuk menterjemahkan ayat-ayat kepada bahasa Melayu walaupun pelajar tersebut memahami maksud ayat tersebut dalam bahasa Inggeris. Ini belum lagi melibatkan istilah-istilah yang masih belum ada terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Selanjutnya, dalam era siber, perkembangan multimedia yang menjadi alat bantu pengajaran juga penting untuk membentuk individu-individu yang berketrampilan dalam merealisasikan impian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020. Alatan multimedia seperti ensiklopedia yang diubahsuai kepada bentuk cakera padat (CD : Compact Disc) secara amnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa penggunaan alatan multimedia ini meningkatkan keyakinan pelajar dan kecekapan guru dalam perlaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik. Tambahan pula, teknik ini lebih menyeronokkan dan menambahkan pemahaman pelajar disebabkan kehadiran grafik-grafik yang yang dapat menunjukkan bagaimana sesuatu fenomena Sains itu berlaku. Sebagai contohnya, perbezaan antara empat jenis getaran ikatan molekul yang disebabkan oleh sinar infra-red dapat diterangkan dengan jelas dengan menggunakan perisian-perisian tertentu. Berbalik kepada intipati asal persoalan, selagi rakyat Malaysia tidak mampu untuk menerbitkan perisian-perisian ini dalam bahasa Melayu, mereka perlu menggunakan perisian-perisian yang ada di pasaran yang kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris.

Selain daripada itu, dari sudut ekonomi, proses pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di peringkat universiti juga akan lebih menarik para pelajar asing supaya datang menuntut di negara ini. Kesannya, peratusan pelajar asing akan meningkat dan seterusnya taraf universiti tempatan akan meningkat di mata dunia di samping memberikan kesan positif kepada kadar tukaran matawang dan industri pelancongan di negara ini. Berdasarkan laporan 200 buah universiti terbaik di dunia baru-baru ini, didapati 10 universiti terbaik di dunia menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar. Tambahan pula, universiti-universiti yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama dapat menarik lebih ramai antarabangsa berbanding bahasa-bahasa lain. Dengan menggunakan C & S (Consequences and Sequel), pelbagai manafaat secara langsung dan tidak langsung dapat diperoleh apabila bahasa pengantar pendidikan tinggi diubah kepada bahasa Inggeris.

Pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara Utusan Malaysia mendedahkan sikap sesetengah orang Melayu yang hanya mahukan jalan senang untuk mengatasi sesuatu masalah. Sesetengah orang Melayu tidak mahu bersusah payah untuk mencapai kemajuan di samping tidak mahu memikirkan kesan jangka panjang terhadap saranan mereka supaya kerajaan mengembalikan pendidikan dalam bidang Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu. Walaupun terdapat pendapat seorang tokoh akademik yang menyatakan bahawa pendidikan menggunakan bahasa ibunda adalah lebih baik berbanding bahasa asing tetapi orang Melayu perlu melakukan anjakan paradigma dan memandang jauh ke depan, sanggup berkorban dan menganggap perubahan ini ialah satu pelan jangka panjang dalam bidang pendidikan untuk membolehkan anak-anak Melayu menguasai ilmu pengetahuan. Memandangkan FIR (First Important Priorities) dasar pembaharuan ini ialah untuk membentuk masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu bertaraf dunia, jadi wajarlah mereka yang berfikiran negatif terhadap langkah ini mengubah arah pemikiran mereka supaya berpandangan positif untuk mencapai kemajuan.

Walaupun terdapat kecaman yang mengatakan orang Melayu akan lupa jati diri, sejarah telah membuktikan bahawa mereka yang pernah mendapat pendidikan Inggeris seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir tidak lupa jati diri mereka sebagai orang Melayu. Seseorang yang mempunyai semangat nasionalisme yang kuat seumpama golongan cauvinis Melayu yang lantang memperjuangkan bahasa Melayu seharusnya turut sama memperjuangkan nasib bangsanya supaya bangsanya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain. Dalam hal ini, kepentingan bahasa Inggeris tidak boleh dinafikan di peringkat dunia. Oleh itu, untuk menguasai dunia ini, orang Melayu perlu menguasai bahasa ilmu pengetahuan. Orang-orang Eropah dan Yunani pada zaman ketamadunan Islam telah mempelajari bahasa Arah sehingga fasih untuk menceduk ilmu-ilmu yang terdapat pada masa tersebut. Berdasarkan contoh ini, bahasa Inggeris perlu dikuasai pada masa ini dan seterusnya berusaha untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai suatu bahasa ilmu pengetahuan pada masa hadapan.

Kesimpulannya, tujuan perlaksanaan proses pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik melalui bahasa Inggeris ialah untuk melahirkan generasi yang mampu berfikir dan melahirkan idea berkaitan Sains dan teknologi selain berkebolehan untuk membentangkan idea-idea secara berkesan di peringkat antarabangsa dengan menggunakan bahasa Inggeris. Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia khususnya yang datang dari etnik Melayu yang mampu berdaya saing di peringkat global dan melahirkan para penyelidik atau saintis bertaraf antarabangsa yang mampu menyumbangkan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk kesejahteraan masyarakat dunia ini.

Contohnya pergantungan masyarakat dunia kepada petroleum sebagai bahan api utama menyebabkan kenaikan harga minyak di seluruh dunia dan apabila dunia telah kehabisan sumber asli ini, mereka perlu melihat sumber tenaga lain sebagai alternatif untuk menggantikan petroleum. Dalam hal ini, terdapat kajian untuk menggunakan minyak kelapa sawit sebagai alternatif kepada petroleum. Untuk membentangkan hasil kajian mereka di peringkat antarabangsa, para saintis dari Malaysia perlu berkomunikasi dengan para saintis lain dari lain-lain negara dengan berkesan supaya hasil kajian mereka dapat diketengahkan dan dapat dibincangkan sebaik mungkin.

Dengan itu, hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mampu menjadi seorang penerima Hadiah Nobel yang berprestij akan tercapai. Alat berfikir yang digunakan dalam perkara ini ialah CAF (Consider All Factors) yang mengambilkira semua faktor-faktor penting sebelum membuat sebarang keputusan.

Walaupun begitu, setiap tindakan yang dilakukan mempunyai kebaikan dan keburukannya. Perlaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini sesungguhnya mengancam kedaulatan bahasa dan jati diri orang Melayu. Sebuah pepatah Melayu mengatakan 'Bahasa Jiwa Bangsa' manakala tindakan kerajaan ini amat menyalahi sebuah kempen ' Cintailah Bahasa Kita' yang diadakan pada akhir 80an hingga awal 90an. Ini menunjukkan bahasa Melayu tidak mampu untuk menjadi sebuah bahasa ilmu pengetahuan walaupun mempunyai 200 juta penutur di seluruh dunia.

Sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu sudah hilang fungsinya dan hanya sesuai menjadi bahasa pengantar bagi subjek-subjek sastera dan kemanusiaan seperti Sejarah, Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu itu sendiri. Kesan jangka panjangnya ialah bahasa Melayu dipandang sebagai bahasa yang tidak penting dan lama-kelamaan pengunaannya dalam kehidupan seharian akan pupus.

Seterusnya, mengikut Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Jalaludin, seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kajian tidak rasmi beliau menunjukkan bahwa hampir 20 peratus atau setengah juta anak Melayu akan keciciran dalam pendidikan sekiranya dasar ini diteruskan. Kajian beliau yang berasaskan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di mana hampir 50 peratus pelajar Melayu hanya mampu memperoleh gred C pada peperiksaan tersebut, mengganggarkan jumlah ini akan gagal menamatkan pendidikan hingga ke tahap tingkatan lima sekiranya mereka gagal untuk menguasai bahasa Inggeris.

Bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik) UKM, Profesor Dr Shaharir Mohamad Zain pula berpendapat hanya 20 peratus pelajar Melayu yang akan menerima faedah daripada perubahan dasar ini, itu pun oleh sebab mereka mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang mantap. Jadi dengan mengambilkira sudut pandangan orang lain menggunakan alat berfikir OPV (Other People's Views), langkah kerajaan ini akan menambahkan bilangan golongan muda Melayu yang tidak tamat pendidikan kelak.

Kelemahan pelajar Melayu dari luar bandar dalam menguasai bahasa Inggeris bukannya disebabkan bahasa tersebut tetapi disebabkan oleh guru yang kurang terlatih, persekitaran yang kurang menyokong dan dan kemudahan yang kurang berkualiti dalam proses pembelajaran mereka. Guru yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris yang dihantar ke sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman tidak mampu untuk mengajar dengan baik selain gagal meningkatkan motivasi para pelajar untuk menguasai sesuatu bahasa yang asing bagi mereka.

Masalah ini boleh diatasi sekiranya pihak Kementerian Pendidikan menghantar guru-guru berpengalaman dalam mata pelajaran bahasa Inggeris ke sekolah-sekolah luar bandar. Baru-baru ini terdapat cadangan untuk mewajibkan semua guru yang baru tamat latihan supaya wajib dihantar mengajar di sekolah luar bandar selamat tiga tahun sebelum dibenarkan untuk memohon mengajar di sekolah pilihan masing-masing. Cadangan ini amat baik asalkan tiada campurtangan dan tekanan dari pihak lain kepada pihak kementerian supaya guru-guru tersebut tidak dihantar ke tempat-tempat tertentu.

Faktor lain yang menyebabkan kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris ialah persekitaran yang kurang menyokong. Di sesetengah tempat, wujudnya kesukaran untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan berbahasa Inggeris seperti suratkhabar dan buku-buku cerita. Malah terdapat sesetengah persepsi masyarakat atau individu yang agak tebal semangat agamanya yang orthodoks dan konservatif (pemikiran vertikal) menganggap bahasa Inggeris ialah bahasa orang kafir atau bahasa penjajah. Intipati kepada permasalahan ini ialah mentaliti orang Melayu yang masih belum terbuka untuk menerima perubahan yang seiring dengan keadaan semasa. Jadi, untuk mengatasi masalah ini, seharusnya kerajaan memberi penerangan kepada masyarakat yang masih kolot dan tidak terdedah kepada dunia luar.

Kemudahan yang kurang memuaskan contohnya perpustakaan di sekolah-sekolah luar bandar yang kedudukannya memang terpencil tidak dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan terkini yang boleh didapati di sekolah-sekolah lain seperti makmal komputer, suratkhabar terkini berbahasa Inggeris malahan ada sekolah yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan air yang sempurna. Berkenaan sekolah-sekolah ini, masalah prasarana menyebabkan para pelajar kurang berminat untuk belajar dan masalah kelemahan para pelajar ini tidak hanya menyebabkan mereka gagal untuk menguasai bahasa Inggeris tetapi mereka juga gagal untuk berjaya dalam subjek-subjek lain.

Suatu contoh lain, Profesor Ahmed H. Zewal, pemenang Hadiah Nobel dalam bidang Kimia pada tahun 1999 misalnya merupakan seseorang yang berpotensi dalam bidang kimia sewaktu belajar di peringkat ijazah di negara Mesir. Tetapi disebabkan oleh kemudahan yang kurang moden dan tidak terkini di negara beliau, kebolehan beliau hanya dapat dikembangkan sehingga berjaya memperoleh kejayaan tersebut apabila beliau ditawarkan untuk bekerja di Institut Teknologi California di Pasadena, USA. Selanjutnya, bilangan penerima Hadiah Nobel yang berasal daripada etnik Cina lebih kurang 10 orang tetapi hasil kajian dan penyelidikan mereka dilakukan di negara luar terutamanya di USA. Ini menunjukkan kemudahan yang lengkap dan suasana yang memberangsangkan penting untuk melahirkan insan-insan yang berkebolehan menjadi seseorang yang dapat menyumbangkan ilmu masing-masing kepada tamadun dunia.

Selanjutnya, bagi para pelajar dan guru-guru yang memang kurang berkemampuan dalam matapelajaran bahasa Inggeris, pembaharuan ini memberikan tekanan baru kepada mereka. Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang bekas guru yang pernah mengajar subjek Kimia, Matematik Tambahan dan Matematik di sebuah sekolah di perkampungan Felda di negeri Terengganu selama setahun, masalah utama yang dihadapi oleh para guru ialah masalah dialek negeri yang pekat. Sebagai seorang anak jati Terengganu, saya tidak bermasalah dalam hal ini tetapi bayangkan jika seorang guru dari negeri Kedah misalnya cuba mengajar di negeri Terengganu, guru tersebut akan menghadapi masalah untuk menyampaikan mesejnya kepada para pelajar kerana para pelajar hanya memahami dialek negeri Terengganu sahaja. Sementelahan pula jika subjek-subjek kritikal ini diajar dalam bahasa Inggeris di mana para pelajarnya rata-rata adalah pelajar yang lemah dalam bahasa tersebut. Natijahnya para pelajar yang lemah akan menjadi lebih lemah. Jadi matlamat yang cuba dicapai akan menjadi angan-angan sahaja.

Selain daripada itu, jika dilihat di negara-negara maju yang lain seperti Jepun, Jerman, Perancis dan Korea, bahasa pengantar mereka ialah bahasa ibunda negara-negara tersebut. Ini menafikan pendapat yang dikemukakan bahawa negara-negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pendidikan tidak mampu menjadi negara maju. Sebaliknya, jika dilihat di negara Filipina, sebuah negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, negara tersebut bukannya sebuah negara maju malah mungkin lebih mundur daripada Malaysia.

Konklusinya, setelah menimbang kebaikan dan keburukan yang mungkin timbul setelah dasar pendidikan ini dilaksanakan dengan menggunakan kaedah teknik berfikir pemikiran analitikal iaitu dengan memecahkan maklumat dan idea yang diperolehi kepada beberapa bahagian kecil supaya perbandingan lebih senang untuk dilakukan, saya bersetuju dengan penyelesaian jangka pendek yang dicadangkan oleh kerajaan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia tetapi jika dilihat impak jangka panjang, tindakan kerajaan ini akan menyebabkan kemandirian bahasa Melayu di persada dunia akan terjejas. Oleh sebab itu, kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah lain untuk memartabatkan bahasa Melayu di alam buana ini terutamanya di negara Malaysia ini.

Rujukan

1. Utusan Malaysia, 25 Julai 2002, Dalam Negeri: Buku Teks Sains, Matematik Bahasa Inggeris Mudah

2. Utusan Malaysia, 12 September 2002, Muka Hadapan: Cina Mahu Guna Mandarin -- Hanya Setuju Sains, Matematik Bahasa Inggeris Di Peringkat Menengah

3. Utusan Malaysia, 7 Januari 2003, Ruangan Forum : Pengajaran Sains, Matematik Dalam BI Perlu Komitmen Semua

4. Utusan Malaysia, 3 Februari 2003, Muka Hadapan : Pengajaran Sains, Matematik Dalam BI Diterima Baik

5. Utusan Malaysia, 7 Mac 2003, Muka Hadapan: Lemah BI Punca Cendekiawan Islam Gagal Ketengahkan Isu

6. Utusan Malaysia, 5 Ogos 2003, Muka Hadapan : Akui Kepentingan Bahasa Inggeris Dalam Pendidikan

7. Utusan Malaysia, 7 September 2003, Muka Hadapan: Pelaksanaan Penuh Mulai 2004 -- S&M Dalam Bahasa Inggeris Terbukti Tingkat Pencapaian Pelajar

8. Utusan Malaysia, 9 September 2003, Rencana: Melahirkan Warga Berdaya Maju

9. Utusan Malaysia, 9 September 2003, Parlimen: Sains, Matematik Dalam BI Ikut Perancangan

10. Utusan Malaysia, 21 Oktober 2004, Dalam Negeri: Dasar Pengajaran Sains, Matematik Dalam BI Diteruskan

11. Utusan Malaysia, 27 Mac 2005, Dalam Negeri: Baiki Dasar Pengajaran Sains, Matematik

12. Utusan Malaysia, 27 Mac 2005, Muka Hadapan: Abdullah Tunggu Analisis Sains, Matematik Dalam Bahasa Inggeris

13. Utusan Malaysia, 27 Mac 2005, Persidangan: Setengah Juta Pelajar Melayu Bakal Tercicir?

14. Utusan Malaysia, 28 Mac 2005, Muka Hadapan: Dasar BI Dipertahan -- Tiga Tahun Terlalu Awal Ukur Kesan Belajar Sains, Matematik

15. Utusan Malaysia, 29 Mac 2005, Muka Hadapan: Melayu Akan Rugi - Dr. M -- Jangan Ubah Dasar Pengajaran Sains, Matematik Dalam BI

16. Utusan Malaysia, 29 Mac 2005, Muka Hadapan: Sokong Kekal Sains, Matematik Dalam BI

17. Utusan Malaysia, 29 Mac 2005, Rencana: Hakikat Keperluan Kuasai BI

18. Utusan Malaysia, 29 Mac 2005, Rencana: Melayu Hanya Mahu Senang -- Sayangkan Bangsa Perlu Realistik, Bukan Dengan Semangat Kebangsaan

19. Utusan Malaysia, 30 Mac 2005, Ruangan Forum: Matematik, Sains Dalam BI Tidak Ancam BM

20. Utusan Malaysia, 30 Mac 2005, Rencana: Pilihan Melayu: Mahu Senang Atau Susah

21. Utusan Malaysia, 3 April 2005, Rencana: Melayu Tidak Akan Tercicir -- Penguasaan Bahasa Inggeris Saintifik Akan Mengangkat Martabat Bangsa

22. Utusan Malaysia, 4 April 2005, Muka Hadapan: Dasar Sains, Matematik Dalam BI Tidak Berubah

23. Utusan Malaysia, 5 April 2005, Parlimen: Sains, Matematik: Tahap Pemahaman Memuaskan

24. Utusan Malaysia, 12 April 2005, Parlimen: Teruskan Pengajaran Sains, Matematik Dalam BI

25. Utusan Malaysia, 27 Mei 2005, Muka Hadapan: Rombak Sistem Pendidikan -- Jika Kerajaan Mahu Memperkasa Sekolah Kebangsaan - Murad

26. Utusan Malaysia, 10 Jun 2005, Pendidikan: Sains, Matematik - Isu Integrasi Komputer

27. Utusan Malaysia, 12 Julai 2005, Forum: Menilai Pengajaran Sains, Matematik Dalam Bahasa Inggeris

(C) Mohd Khairil Mohd Mustapha 2005