Wednesday, October 24, 2007

Ulasan: Bazir RM95 Juta Untuk Angkasawan Malaysia Uji Yoyo Dan Gasing?

Ulasan: Bazir RM95 Juta Untuk Angkasawan Malaysia Uji Yoyo Dan Gasing?

ARTIKEL ASAL DARI HARAKAHDAILY

Bazir RM95 juta untuk angkasawan Malaysia uji yoyo dan gasing?

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Hrkh) - Belum pun Angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha tiba ke bumi pada 21 Oktober (esok), pelbagai kritikan dan luahan kesal sebilangan masyarakat telah didengari terhadap projek angkasalepas negara yang dianggap sebagai satu pembaziran besar yang wajar dinilai dan dikaji semula kerana melibatkan kos perbelanjaan yang begitu tinggi.

Malah ada yang menyifatkannya ianya sekadar projek 'melancong ke angkasa' yang tidak memberi sebarang impak besar terhadap teknologi angkasa lepas negara ini dan hanya mahu berbangga nama Malaysia dilakarkan di mata dunia semata-mata seorang rakyat Malaysia telah pun dihantar ke angkasa.

Lebih sinis pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dilabelkan sebagai pemimpin yang sering menunjuk-nunjuk dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia dan akan mencanangkan kepada satu negara hasil usaha yang telah dicapai dan telah dilaksanakan oleh BN selama ini sedangkan pencapaian itu terpaksa disokong dan 'dileburkan' dengan menggunakan duit rakyat jelata.

Dalam satu petikan daripada Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman yang mengkritik projek ini berpendapat bahawa rakyat Malaysia hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

"Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasalepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manafaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata 'boleh'. Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka," tulis Backman.

Angkasawan lain sudah uji yoyo

Bahkan akhbar Australia itu menyifatkan Malaysia sebagai "boleh" tetapi "bodoh" apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya di angkasa lepas.

Ada tanggapan, bahawa Malaysia semakin menunjukkan kebodohannya apabila membelanjakan wang sebanyak itu semata-mata untuk membuat ujikaji 'bodoh' di angkasa lepas yang telah pun dibuat oleh angsawan lain sebelumnnya.

Antara ujikaji yang disifatkan boleh menjadikan tawa negara luar yang dipetik daripada blog ntbn. wordpress ialah putaran gasing, putaran yoyo, catuan Strawberry, campuran minyak dan air dan kelajuan bola berbilang saiz.

"Cuba kita bayangkan. Selain ianya dilakukan sekali lagi atau menjadi bahan tawa negara maju betapa Malaysia sudah ketinggalan di dalam ilmu angkasa sehingga yoyo dan gasing pun menjadi perkara pelik untuk dibuat ujikaji," kata blog tersebut

Dilaporkan ujikaji terhadap yoyo ini telah pun dilakukan pada 12 April 1985 oleh Astronaut David Griggs manakala ujian susulannnya dilakukan oleh Astronaut Jeffery Hoffman pada 31 Julai 1992.

"Nak buat macamana, setakat kaji yoyo, mereka dah boleh digelarkan sebagai angkawasan dan saintis... tak ke kelakar namanya tu," kata blog itu lagi.

Kebanggaan Malaysia juga tidak dapat bertahan lama sebagai sebuah negara membangun yang berjaya menghantar rakyatnya ke angkasa lepas kerana akhirnya 'dibenam' oleh Afghanistan yang jauh lebih mundur daripada negara ini yang telah mencipta sejarah 19 tahun lalu dengan menghantar angkasawannya Abdul Ahad Mohmand.

Rakyat Afganistan ke angkas lepas 19 tahun lalu

Juruterbang tentera Afganistan berusia 48 tahun itu berlepas ke angkasa dengan roket Soyuz TM6 pada 29 Ogos 1988 dengan ditemani 2 angkasawan Russia, Vladimir Lyakhov dan Valery Polyakov dan tiba di bumi pada 6 September 1988, menurut tulisan ibnuzack2 yang dipetik daripada laman web Tranungkite.

"RM 100 juta bukan sedikit. Andai jumlah sebesar itu digunakan bagi membina rumah kos rendah, maka 25 000 rakyat kerdil akan dapat berteduh dari hujan dan panas.

"Tidak perlu lagi rakyat Kampung Berembang hidup di dalam khemah dan tidak perlu lagi penduduk Kampung Bujal menangis melihat tumbangnya masjid mereka. Andai wang sebanyak itu disalurkan untuk kemudahan pendidikan, maka ratusan ribu remaja Islam tidak perlu menanggung beban riba PTPTN," kata ibnuzack2.

Mengakhiri tulisannya beliau menasihati supaya projek angkasalepas ini tidak 'mengaburi' penganiayaan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat yang semakin hari makin tertindas akibat penyalahgunaan kuasa dan harta oleh para pemimpin yang rakus dan tamak haloba.

"Jangan tuan-tuan, andainya kejayaan Dr Syeikh Muszaphar ini akan melupakan kita pada Kampung Berembang, peristiwa Kampung Bujal, skandal kapal selam, skandal kehakiman, penganiayaan di Batu Burok, ISA, rampasan royalti, peminggiran dan berat sebelah terhadap rakyat dan kerajaan Kelantan serta pelbagai lagi kisah lampau yang masih berdarah lagi lukanya," katanya lagi.

Sumber asal di HarakahDaily (klik di sini)

-------------------------------

ULASAN PERIBADI 1

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Syawal kepada semua,

Terima kasih yang kepada memberi feedback kepada artikel "Bazir RM95 Juta Untuk Angkasawan Malaysia Uji Yoyo Dan Gasing?", sekurang-kurangnya ada juga yang membaca bulletin di Friendster dan mengikuti isu-isu semasa.

Saya bukannya membangkang 100 % misi tersebut, sebaliknya ada beberapa perkara yang bagi saya perlu diberikan pandangan:

- Perlukah duit sebanyak sedemikian dilaburkan untuk melakukan eksperimen-eksperimen yang telah dilakukan oleh angkawasan-angkasawan terdahulu? Eksperimen yoyo untuk menunjukkan kesan mikrograviti dilakukan pada 12 April 1985 oleh Astronaut David Griggs manakala ujian susulannya dilakukan oleh Astronaut Jeffery Hoffman pada 31 Julai 1992. Jadi apakah perlunya ujian yoyo tersebut dilakukan lagi?

- Umat Islam pertama ke angkasa lepas ialah salah seorang rakyat Afghanistan Abdul Ahad Mohmand, pada tahun 1988 (sekadar membetulkan fakta bahawa Dr Muszaphar bukannya umat Islam pertama ke angkasa lepas)

- Adakah Rusia / Amerika akan memberikan ilmu dan teknologi angkasanya yang terkini kepada negara-negara lain terutamanya kepada negara-negara Islam? Anda sudah lupa pembunuhan beramai-ramai rakyat Islam di negara Chehnya oleh kerajaan Rusia pada tahun 1994-1996?

- Andainya kerajaan Malaysia tidak membeli pesawat Sukhoi dari kerajaan Rusia, adakah kerajaan Rusia akan bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia mengikuti misi tersebut?

Bukankah lebih baik andainya Malaysia dan negara-negara Islam lain berkerjasama untuk menghantar angkasawan Islam sendiri ke angkasa lepas, bukannya mengharapkan golongan kaum kafir (Rusia / Amerika) membantu mereka? Bukankah negara-negara yang terkaya di bumi ini adalah negara-negara Islam contohnya Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Brunei yang dikurniakan nikmat iaitu petroleum yang melimpah ruah. Jadi rasanya perbelanjaan untuk menguruskan badan angkasa lepas ini tidak menjadi satu masalah.

Jadi kenapa Malaysia sebagai salah satu anggota OIC (Organization of the Islamic Conference) tidak berpakat dengan OIC untuk menubuhkan sendiri satu organisasi khas untuk membangunkan teknologi angkasa lepas untuk umat Islam sendiri? Umpamanya negara-negara di Eropah Barat menubuhkan European Space Agency (ESA) untuk membangunkan teknologi angkasa mereka, tidak bergantung kepada Amerika dan Rusia. Negara-negara lain juga seperti Jepun dan India mempunyai agensi angkasanya.

Satelit pertama Malaysia (MEASAT 1) telah dilancarkan pada tahun 1996 dan beberapa buah satelit lain juga telah menyusul. Walaupun begitu, satelit-satelit ini dihasilkan oleh negara-negara lain bukannya dibuat Malaysia. Jadi selepas 11 tahun perlancaran satelit pertama, adakah Malaysia masih tidak mampu untuk menghasilkan dan melancarkan satelitnya sendiri? Masih mengharapkan kepada negara luar?

Untuk jangka pendek, Malaysia dan negara-negara Islam lain perlu meningkatkan dan mengemaskinikan sistem pendidikan di peringkat sekolah dan universiti di negara masing-masing supaya lebih mantap dan mempunyai kemudahan yang tercanggih untuk melahirkan umat Islam yang menjadi saintis-saintis terulung. Bukankah lebih membanggakan jika ilmu dan pengetahuan baru dalam bidang sains dan teknologi ini ditemui oleh umat Islam sendiri tanpa bantuan golongan kafirun? Berapa ramaikah umat Islam yang telah berjaya menerima Hadiah Nobel dalam bidang sains?

Kenapa perlu berbangga jika kita hanya dapat menumpang kapal orang lain?

Sekadar meluahkan pendapat peribadi.

Wassalam

Khairil Mustapha
Pulau Pinang, 22 Oktober 2007

(Artikel ini telah disiarkan di buletin Friendster pada 22 Oktober 2007)

Rujukan:

http://www.yo-yos.net/Yo-yo%20history.htm

http://science.nasa.gov/headlines/y2002/18mar_playingcatch.htm

http://www.afghan-network.net/Culture/afghanastronaut.htm

http://www.esa.int/esaCP/index.html

http://www.jaxa.jp/index_e.html

http://myschoolnet.ppk.kpm.my/ingin_tahu/measat.htm

http://www.iol.ie/~afifi/Articles/chechnya.htm

-------------------

ULASAN PERIBADI 2

Assalamu'alaikum,

Salah ke kalau nak luahkan pendapat peribadi?

Saya tak condemn 100% cuma melihat pada masa depan, apakah persediaan yang telah dilakukan supaya Malaysia menjadi satu kuasa angkasa lepas? Takkan selama-lamanya kita nak menumpang milik orang.

Saya amat menyokong rakyat Malaysia ke angkasa lepas cuma bagi pendapat saya, masih terlalu awal untuk kita ke situ. Banyak lagi yang kita boleh lakukan untuk mencungkil minat para pelajar dalam bidang sains seperti:

- menaiktarafkan planetarium / pusat observatory di seluruh Malaysia

- rancangan sains yang lebih menarik di tv yang lebih sesuai untuk tahap budak-budak sekolah. Masalah dengan TV pendidikan sekarang ni ianya banyak ditayangkan pada masa sekolah jadi bila masanya pelajar-pelajar mahu menonton? Rancangan seperti Majalah 3 pula amat menarik tetapi agak tinggi tahapnya untuk mereka ini. Channel Animal Planet dan National Geographic bagus tetapi adakah semua ibu bapa mampu untuk melanggan Astro?

- mengubahsuai silibus matapelajaran Sains yang kelihatan lebih kepada teoritikal pada masa ini kepada lebih praktikal dan enjoyable

- menonjolkan tokoh-tokoh ilmuwan dengan lebih kerap di media massa bukan hanya menonjolkan artis-artis mee segera yang berpakaian tak cukup kain yang terkinja-kinja di atas pentas sebagai idola

Saya tak kata semua eksperimen tersebut perlu dimansuhkan sebab orang lain dah buat. Practise makes perfect. Adakah saya mengatakan secara literal yang misi Soyuz ini membazir?

Saya ada menyatakan tentang perlunya suatu agensi angkasa lepas ditubuhkan yang khas untuk umat Islam, tak perlu bergantung kepada golongan kafirun. Adakah itu satu bangkangan kepada teknologi angkasa lepas?

Kerajaan Malaysia perlu menyediakan satu blueprint jangka panjang untuk projek angkasa lepas Malaysia, bukannya hanya mengharapkan kepada kuasa-kuasa luar untuk membantu Malaysia. Blueprint ini perlulah diumumkan kepada rakyat supaya rakyat tahu apakah dia misi, objektif dan wawasan. Contohnya dalam masa 5 tahun, kita sudah bersedia untuk melancarkan roket/satelit kita sendiri dan dlm masa 10 tahun, menghantar 100% krew angkasawan Malaysia dalam roket buatan Malaysia dan maybe dalam masa 20 tahun, pergi ke bulan.

Pihak-pihak luar yang menghulurkan bantuan semestinya menginginkan balasan. Adakah mereka akan menolong 100% dengan ikhlas? Adakah kita inginkan seperti kes Wilayah Pembangunan Iskandar di mana Singapura akan masuk campur dalam urusan Malaysia?

Jadi blueprint ini, adakah sudah available untuk rakyat Malaysia? Atau pun masih dalam peringkat perancangan?

Kita tak mahu kerajaan yang hanya hangat-hangat tahi ayam, yang hanya berpuas hati dengan pencapaian menghantar angkasawan sahaja. Tawaran kedua untuk menghantar angkasawan Malaysia ke angkasa lepas sudah kita terima. Apakah improvement yang kita boleh lakukan? Dalam bahagian teknikal contohnya, adakah akan ada rakyat Malaysia terlibat secara langsung dalam pembinaan roket/ kapal angkasa tersebut? Takkan kita mahu jadi penumpang selama-lamanya. Perlunya ada satu perancangan yang kita boleh jadikan panduan, bukan hanya menunggu peluang tiba.

Apakah rancangan kerajaan Malaysia untuk memajukan bidang astronomi di Malaysia? Berapakah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia untuk memajukan teknologi angkasa lepas semasa pembentangan Rancangan Malaysia baru-baru ini?

Kita perlu ada check and balance dalam kerajaan. Kita sebagai rakyat berhak meluahkan pendapat masing-masing. Everybody is entitled to his/her own opinion. Adakah saya sebagai seorang rakyat Malaysia, tidak mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat? Adakah posting ini terlampau anti-kerajaan? Berbau politik? Pro-pembangkang? Adakah dengan mengkritik kerajaan dan memberikan pendapat peribadi, terus dilabelkan pro-pembangkang? Bersikap pesimis? Berfikiran negatif? Adakah dalam ulasan ini, saya ada memuji atau mengutuk mana-mana parti atau pemimpin sama ada dari pihak BN atau Barisan Alternatif?

Adakah Malaysia dengan keadaan sekarang mampu untuk menghantar angkasawan? Hasil-hasil eksperimen di angkasa lepas itu pun, kenapa perlu dianalisis di negara-negara luar? Kenapa sebelum melakukan eksperimen-eksperimen tersebut, kita tidak bersedia supaya analisis tersebut dapat dilakukan di negara kita sendiri? Kenapa hasil eksperimen di ISS itu perlu dianalisis di Rusia dan Jepun? Hanya satu eksperimen akan dianalisis di Malaysia? (Rujuk Utusan Malaysia 21 Oktober 2007)

Dalam bidang R & D di Malaysia contohnya, adakah IPTA-IPTA kita ini telah dilengkapi dengan alatan-alatan terkini dan tercanggih? Sesuai untuk bilangan nisbah alat: pelajar? Dalam penyelidikan Molecular Modelling contohnya, kemampuan untuk menganalisis sesuatu molekul organik yang kompleks bergantung kepada kemampuan komputer. Kenapa para pensyarah di IPTA kita perlu ke luar negeri untuk menjalankan kajian mereka disebabkan ketiadaan komputer yang tercanggih?

Don't get me wrong. Saya amat menyokong mana-mana program untuk mencari ilmu cuma kita perlu menyiapkan diri kita dulu. We start from bottom. Perkemaskinikan dahulu yang di bumi, barulah kita terokai yang di langit. Seumpama sebuah syarikat minyak yang menemui telaga-telaga minyak yang berpotensi di tengah lautan. Adakah syarikat tersebut akan mengorek dahulu minyak di dasar lautan sebelum membina kilang-kilang untuk penapisan dan pemprosesan petroleum ini?

Lahirkan dahulu saintis-saintis Malaysia/Islam yang boleh membangunkan industri hiliran angkasa lepas, yang dapat mencipta dan melancarkan roket sendiri dan dapat membangunkan teknologi-teknologi baru yang ditemui di angkasa lepas ini untuk manafaat manusia sejagat. Alangkah malangnya dengan kos yang amat besar, kita tak dapat mengaplikasikan ilmu-ilmu yang kita temui itu untuk faedah kita bersama. Seumpama pelajar darjah enam diberikan buku pelajaran Tingkatan Lima. Adakah kita akan memahami dan mampu mengaplikasikan ilmu tersebut jika kita tidak mempunyai asas yang kukuh? Sekiranya kita bermula dari A, kita perlu melalui huruf-huruf B, C dan seterusnya, bukannya terus ke huruf M atau Z.

Cuma pandangan peribadi, salah silap harap maafkan.

Wassalam.

Khairil Mustapha
Pulau Pinang, 23 Oktober 2007

(Artikel ini telah disiarkan di buletin Friendster pada 23 Oktober 2007)

No comments: